Wednesday, March 31, 2010

PANDANGAN, KOMEN, IDEA DARI ANDA


Ibu bapa/Guru/Pelajar/Bekas Pelajar/Pelawat

Jika anda ada sebarang pandangan, idea, pendapat, maklumat dll, kami amat mengalu-alukannya untuk disalurkan kepada kami untuk tujuan penambahbaikan di asrama. Kami percaya mungkin anda di luar sana mempunyai pandangan yang bernas, yang mungkin tidak terjangkau oleh kami di pihak pengurusan asrama.Semoga perkongsian pintar ini akan dapat membantu melahirkan para pelajar yang berguna untuk masa hadapan.

Kepada penghuni asrama/bekas penghuni asrama, jika ada sebarang masalah atau idea dari pengalaman anda menduduki asrama SMVAS, salurkanlah supaya ia dapat membantu pihak kami meningkatkan lagi kualiti hidup pelajar di asrama ini.

Terima kasih

SUSAH SANGAT KE?

Semasa rondaan pagi sebelum pelajar ke sekolah, adalah menjadi rutin harian warden bagi memeriksa keadaan bilik pelajar, samada ditinggalkan dalam keadaan kemas atau sebaliknya. Kadang kala memang saya terlepas memeriksa kerana kelewatan disebabkan rutin harian utama menghantar anak-anakku terlebih dahulu sebelum menjaga anak orang lain.

Sakit kepala melihat bilik yang tidak kemas, baju bergantungan di rak tuala, kasuh bersepah, tiada unsur keceriaan seperti mana ketika penghakiman pertandingan keceriaan dorm dll. Ini bukanlah perkara yang saya mahukan. Kebersihan dan keceriaan patutlah menjadi tabiat semua penghuni asrama. Takkan mahu dimarah, dihamun dan ****** baru mahu bergerak. Para pelajar perlu ada kesedaran tentang perkara ini. Bilik kita adalah rumah kedua kita sepanjang 2 tahun berada di SMVAS. Keselesaan berada di dalam dorm amat penting bagi menjamin fikiran yang tenang, kesihatan yang baik dll. Harap akan ada perubahan selepas ini.Teguran, amaran, peringatan, nasihat,denda, rotan,ketuk ketampi dan macam-macam lagi tidak memberi kesan nampaknya. Sebenarnya saya sendiri pun tidak sampai hati untk asyik merotan/mendenda pelajar, tetapi tiada pilihan lagi.

Sayangi asrama kita seperti mana kita menyayangi rumah kita.
ASRAMA,SYURGAKU !!!!!

Monday, March 29, 2010

PERANCANGAN ASRAMA 2010

Kami di pihak pengurusan asrama sentiasa memikirkan pelbagai program bagi memberikan manfaat kepada semua warga asrama SMVAS. Semoga semua ini menerbitkan keceriaan di kalangan warga asrama di samping menjadi satu wadah bagi mendidik pelajar ke arah menjadi insan yang seimbang untuk negara pada masa hadapan.

Pelbagai program telah diatur bagi memungkinkan para penghuni asrama melaui fasa perkembangan yang seimbang dari segi emosi,jasmani,rohani dan intelek. Harapan saya semua warga asrama akan cuba melibatkan diri dengan semaksimum mungkin dalam semua program yang dilaksanakan bagi meraih hasil untuk diri masing-masing.

Saya akui tidak semua pelajar menerima dengan hati yang terbuka, tetapi besarlah harapan saya agar program-program ini sedikit sebanyak dapat membantu anda semua dalam kehidupan masing-masing.

PERARAKAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI SEMBILAN






Pada 26 Februari 2010 yang lalu,seramai 40 orang penghuni asrama ditemani Cikgu Zulkifli dan Cikgu Azizan telah menyertai Majlis Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan di Padang MPS, Seremban. Berbekalkan semangat tanpa pengalaman dan kekangan masa dan kewangan, mereka melangkah membawa nama sekolah ke pertandingan tersebut. Melihat persediaan pasukan-pasukan lain, manakan boleh kami mencipta kejutan. Tetapi usaha tetap usaha.

Rupa-rupanya, kami berjaya menarik minat para juri. Panggilan telefon dari Pusat Dakwah Islamiah sungguh menggembirakan. SM Vokasional Ampangan berjaya mendapat tempat ketiga bagi kategori IPT. Habuannya RM 600.00. Wah...boleh tahan juga. Kami agihkan hadiah tadi kepada para pelajar sebagai tanda menghargai usaha mereka.

Semoga pada masa akan datang, kejayaan yang lebih tinggi akan memihak kepada kita.Insyaallah

MENGAPA ?

Hari ini saya didatangi,dijeling dan dimarahi seorang penjaga yang tidak berpuas hati dengan perkara yang berlaku ke atas anaknya di asrama. Dalam keadaan badan yang amat letih menganjurkan Pertandingan Kawad Kaki dan ditambah lagi sindiran pedas Makcik pelajar tersebut, saya rasa hangin satu badan.
Itulah dia sikap segelintir penjaga yang berurusan dengan warden di asrama(kurang 10%). Memandang rendah kami walaupun sebenarnya mereka jauh kurang hebat dari kami.Ada juga yang sentiasa mencari kesalahan warden. Tak tahu apa yang mereka dapat dari tindakan sebegini.Agaknya satu kepuasan agaknya. Langsung tak berterima kasih atas bantuan dan perhatian yang diberikan sepanjang anak mereka berada di asrama. Mana nak sama menjaga anak 3 orang dalam satu rumah 22 X 70 berbanding menjaga hampir 400 orang anak yang pelbagai ragam, latar belakang dll.
Si anak pun satu hal.Tak ambil tahu langsung siapa warden, siapa warden bertugas, mana rumahnya dll menyebabkan banyak masalah berlaku.Dah tu tak pandai menyesuaikan diri di asrama, tentulah banyak masalah.Akhirnya setelah dibasuh makciknya tadi, keadaan pun settle. Lepas dia balik dan keluarkan anak saudaranya tadi, rasa nak tergelak pulak.Orang yang nak membasuh akhirnya kena basuh balik, baru padan muka dia.

Saturday, March 27, 2010

PERTANDINGAN KAWAD KAKI ASRAMA SMVAS 2010






27 Mac 2010
Esok akan berlangsung pertandingan ini buat kali yang kedua. Seronok melihat pelajar gelisah di sekitar sekolah membuat persiapan untuk hari esok. Inilah yang sepatutnya berlaku, bukannya hanya duduk membuang masa atau melepak tanpa hala tuju di dalam dorm, malahan lebih teruk lagi jika terlibat dengan perkara-perkara yang tidak baik.

Tahniah kepada semua pelajar. Buktikan pelajar asrama BOLEH - kepada semua orang. Jangan biarkan diri anda diperlekehkan atau diperhambakan oleh orang lain(yang suka mengambil kesempatan). Diharap semua pelajar akan bertanding dengan sihat, and may the best men win.

Cuma yang agak mengecewakan, ada segelintir pelajar lembik yang melarikan diri dari aktiviti ini dengan menelefon ibu bapa supaya menjemput mereka balik dengan pelbagai alasan dan lebih malang lagi, ada ibu bapa yang bersekongkol menipu bersama-sama anak mereka. Inilah masalahnya. Jangan salahkan orang lain nanti jika anak anda lembik dan tidak pandai berdikari/membawa diri dalam masyarakat

28 Mac 2010
Alhamdulillah, dengan Izinnya, cuaca amat baik hari ini. Pertandingan dapat dilangsungkan dengan lancar dan meriah sekali. Terima kasih kepada Pengetua, En Hasni yang sudi merasmikan pertandingan pada tahun ini. 12 platun telah mengambil bahagian dan semuanya dalam kelas yang tersendiri.Pelbagai ragam dapt disaksikan - lawak, lucu, bongih, gabra dll. Tulah, jangan pandai/berani di belakang saja, cuba tunjukkan kehebatan anda di hadapan khalayak ramai.

Para hakimnya terdiri dari 2 pegawai dari ATM, 2 dari PDRM dan 1 dari Jabatan Penjara. Semua peserta telah menunjukkan komitme yang tinggi dan hasilnya lahirlah satu persembahan yang menarik dari semua. Diharap program seumpama ini akan mendatangkan manfaat kepada para pelajar dan menjadikan kenangan sepanjang berada di asrama SMVAS sebagai satu kenangan yang indah buat anda semua.

Majlis Perasmian Penutupannya pula telah dilaksanakan oleh Tn Hj Yacob Bin Mansor,(GPK HEM) yang turut sama menyempurnakan majlis penyampaian hadiah.Kepada pasukan yang berjaya diucapkan setinggi-tinggi tahniah, dan kepada yang gagal, anggaplah yang diri anda kurang bernasib baik walaupun anda telah mencuba yang terbaik. Terima kasih kepada semua.

Keputusannya adalah seperti berikut:
TEMPAT PERTAMA - GABUNGAN DORM D4 & D5
TEMPAT KEDUA - GABUNGAN DORM C5 & C6
TEMPAT KETIGA - GABUNGAN DORM D1,D2 & D3
TEMPAT KEEMPAT - GABUNGAN DORM A7 & A8
TEMPAT KELIMA - GABUNGAN DORM C3 & C4
TEMPAT KEENAM - GABUNGAN DORM A1 & A2
dan tidak lupa kepada Gabungan Bilik B6 & B7 yang mendapat tempat ke-12(jangan marah)

Anugerah Ketua Platun Terbaik berjaya dirangkul oleh Saudari Ainul Nadhirah Bte Abdul Hadi dari Platun D4 & D5.Moga program ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. Terima kasih kepada semua!!!!!!

PERTANDINGAN DORM 5 BINTANG BAGI BULAN MAC 2010

Pada Khamis lalu, 25 Mac 2010 telah dilangsungkan penghakiman bagi Pertandingan Dorm 5 Bintang bagi bulan Mac 2010. 5 orang guru telah membantu kami memberikan markah kepada semua dorm yang terlibat.

Keputusannya :
ASPURA - 1) A8 2)A3 3)B7
ASPURI - 1) D3 2) D1 3)D2

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang, kerana percayalah hanya mereka yang berusaha akan mencapai kejayaan. Kepada dorm yang masih gagal, teruskan berusaha.

2 perkara yang menarik minat saya semasa penghakiman berlaku

a) Kedua-dua Johan bagi Aspura & Aspuri adalah Mentee saya, manakala Dorm B9 mendapat tempat keempat. Alhamdulillah, supaya anda semua akan teruskan tahap sebegini sepanjang tahun
b) Guru-guru yang hadir melahirkan rasa kagum tentang keadaan di asrama berbanding dengan apa yang mereka pernah lihat lama dahulu-ibarat langit dan bumi katanya.Ada juga yang mengatakan yang keadaan di asrama lebih baik dari keadaan di dalam kelas.Hairan .....mengapa pelajar tidak mahu melakukan perkara yang sama di sekolah. Renungkan dan fikirkanlah sendiri

KURSUS IMAM & BILAL 2010




Hari ini, 27 Mac 2010 dari jam 8.00 - 12.15 tengahari telah berlangsung Kursus Imam & Bilal Asrama SMVAS kali yang pertama kali dianjurkan. Penceramahnya ialah Ustaz Norazman Mohamad, Imam Masjid Jamek Ampangan. Program ini adalah dibawah seliaan Pn Roslina Mahmud dan telah disertai oleh 20 pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan.

Diharap dengan adanya kursus sebegini akan berjaya melahirkan lebih ramai insan kamil di SMVAS dan akan lebih 'makmur'lah Surau Ibnu Sina SMVAS.

Sepanjang kursus ini, peserta telah didedahkan dengan pelbagai ilmu yang berguna oleh Ustaz dan harapan saya supaya para peserta akan menggunakan ilmu yang diperoleh untuk membantu mendidik atau menarik rakan-rakan yang lain ke arah yang lebih baik

KELUH KESAH MENJAGA PELAJAR ASRAMA

Sememangnya tugas menjaga pelajar asrama lebih hebat daripada menjaga anak sendiri. Dengan hampir 400 orang pelajar dan hampir 2 kali ganda bilangan ibu bapa,terlalu banyak ragam dan perkara yang perlu dipertimbangkan. Kepada yang bekerjasama, terima kasih kami ucapkan.

Buat semua rakan-rakan warden, teruskan usaha anda. Janganlah terlalu berkira dalam menjalankan tugas, kerana percayalah Allah akan sentiasa membalas kebaikan yang anda semua lakukan. Jika difikirkan banyak pahala/kebajikan yang diperoleh dalam menjaga kebajikan pelajar asrama ini. Itulah yang mendorong/menguatkan semangat kami untuk terus berjuang